BAGAIMANA SAYA MULA KENAL DENGAN LOGAM MULIA BERNAMA EMAS??
Alkisahnya saya memang suka ke kedai buku. Setiap bulan tak dapat kira berapa kali saya ke sana. Kalau lalu tu wajib masuk walaupun tak beli apa-apa. Tapi kalau tak sempat masuk pun, saya akan jenguk juga dari luar.
Suatu hari, seperti biasa saya ke tempat yang saya kira tempat terapi minda ini. Saya membelek-belek buku-buku di rak agama yang penuh dengan karya Pak Latib atau nama sebenar beliau, Abdul Latip Talib iaitu penulis novel sejarah Islam no. 1 di Malaysia. Saya suka benar dengan sejarah kerana topik ini dapat menyuburkan semula semangat mempertahankan Islam, semangat patriotisme dan perasaan-perasaan positif yang lain.
Tetapi, ada satu rak yang jarang saya beri perhatian iaitu rak kewangan. Rasanya memang tak pernah tahu pun tajuk-tajuk buku di situ. Sebab bagi saya, buku-buku di rak itu terlalu ‘berat’ untuk saya baca. Takdir Allah, terdetik di hati nak jenguk rak tersebut. Saya teliti satu per satu tajuk buku di situ. Getus saya dalam hati, “Aku nak beli satu buku kewangan. Aku nak belajar.”
Alhamdulillah saya jumpa sebuah buku yang menarik perhatian saya. Nipis saja bukunya. Terus saya baca sinopsisnya. “Eh menariknya!”, bermonolog saya sendiri. Buku apa yang saya jumpa tu? Buku inilah yang mengubah pemikiran dan pengetahuan saya tentang wang. Buku Bestseller sepanjang zaman iaitu THE RICHEST MAN IN BABYLON oleh George S. Clason.
Secara ringkasnya buku ini menceritakan bagaimana orang-orang kaya Babylon menjana duit. Dan yang paling menarik, matawang pada masa tu adalah Emas, Perak dan Gangsa. Saya betul-betul terpaku dengan perkataan ‘Emas’. Ibarat ada suatu aura yang sangat positif setiap kali saya baca perkataan tersebut. Semenjak itu saya mula mencari dan menggali ilmu emas. Alhamdulillah satu per satu Allah mudahkan.
Jika sahabat pembaca ingin tahu serba sidikit tentang buku THE RICHEST MAN IN BABYLON ini, saya ada kongsikan riviu nya DI SINI. Semoga anda beroleh manfaat daripada perkongsian saya yang tidak seberapa ini.
© Zareen Naqiyah (PG00131385)