“SIMPAN EMAS TU JANGAN LUPA BAYAR ZAKAT”
Bila saya sarankan simpan emas, selalu ada yang berpesan macam ayat di atas ni. Saya nak kongsi sikit. Daripada pengalaman saya, saya boleh katakan penyimpan emas lebih ingat tentang zakat berbanding mereka yang tak simpan emas.
Orang yang simpan emas, baru beli 1 dinar (4.25 gram) emas pun dah sibuk fikir dan tanya tentang zakat. Walhal, 85 gram (bersamaan 20 dinar) barulah diwajibkan zakat.
Sedangkan orang simpan duit dalam akaun bank, kita boleh katakan lebih banyak yang lupa bayar zakat walaupun duit simpanan di bank pun sebenarnya dikenakan zakat sama macam zakat emas juga.
Sepatutnya orang yang tak simpan emas tu kena selalu diingatkan, “Simpan duit dalam bank tu jangan lupa bayar zakat ya!” Tak gitu?
Ada pula sebahagian orang yang teragak-agak untuk beli emas sebab takut kena zakat. Dengar baik-baik:
Zakat hanya dikenakan kepada orang kaya. Orang miskin tak dikenakan zakat.
Siapa takut bayar zakat, dia susah jadi kaya. Siapa pasang cita-cita nak bayar lebih banyak zakat, in shaa Allah akan Allah lorongkan lebih banyak jalan kekayaan buatnya.
Pernah beberapa orang penyimpan emas share kepada saya, alang-alang beli emas, biarlah jumlah emas yang disimpan itu cukup untuk mewajibkan dia bayar zakat. Dia sungguh senang hati untuk membayar zakat. Dan memang benar, saya lihat, penyimpan emas tersebut tidak ada masalah kewangan walaupun saya kira pendapatannya tidaklah besar. Kehidupannya serba serbi cukup. Alhamdulillah.
Saya percaya, Allah berikannya keberkataan atas kesungguhannya mahu membayar zakat. Ingat, setiap bahagian harta yang kita keluarkan kerana Allah, Allah akan gantikannya sekurang-kurangnya 10 kali ganda daripada apa yang kita keluarkan. Itu janji Allah. Tidak ada yang lebih menepati janji selain Allah, pemilik segala kekayaan di langit dan di bumi.
PENGIRAAN BAYARAN ZAKAT EMAS
Untuk pengetahuan anda, emas dan perak termasuk dalam kategori logam berharga yang diwajibkan zakat jika cukup haul dan nisab.
- Haul merujuk kepada tempoh masa iaitu 1 tahun.
- Nisab pula merujuk kepada nilai berat.
Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat diri mu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu” (At- Taubah; ayat 34-35)
Zakat emas dikira dalam dua keadaan iaitu:
- Zakat emas yang disimpan (tidak dipakai).
- Zakat emas yang dipakai (emas perhiasan).
1. Zakat emas yang disimpan (tidak dipakai)
Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.
Formula untuk mengira zakat emas adalah seperti ini:
[Berat emas (gram)] x [Harga emas semasa/gram] x 2.5%
Contohnya anda memiliki 100 gram jongkong emas bernilai RM 220/gram (harga semasa) dan telah menyimpannya selama setahun. Jumlah zakat yang dikenakan adalah:
100 gram x RM 220 x 2.5% = RM 550
2. Zakat emas yang dipakai (emas perhiasan)
Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ia melebihi ‘uruf’ (uruf merujuk kepada nilai kebiasaan pemakaian emas bagi wanita di sesebuah tempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan daripada nilai uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.
Contohnya jika anda bermastautin di Wilayah Persekutuan maka kadar uruf adalah 150 gram emas (jika anda bermastautin di negeri lain, sila rujuk kadar uruf bagi negeri anda di bawah).
Berat emas yang dipakai ialah 250 gram dan berat emas yang layak dizakatkan adalah:
250 gram – 150 gram (uruf) = 100 gram
Zakat yang wajib dibayar:
100 gram x RM 200 (andaikan harga emas semasa RM 200.00/gram) x 2.5% = RM 500
Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia
Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia:
- Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
- Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram.
- Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram.
- Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000.
- Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram.
- Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram.
- Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram.
- Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram.
- Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf.
- Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram.
- Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram.
- Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram.
- Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000.
- Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram.
(Nilai uruf ini boleh berubah dari masa ke semasa. Anda dinasihatkan menyemak dengan Pusat Zakat di negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini)
PENGIRAAN BAYARAN ZAKAT PERAK
Sama seperti emas, perak juga perlu memenuhi syarat cukup haul dan nisab untuk membolehkan seseorang itu mengeluarkan zakat perak.
- Haul ialah tempoh masa 1 tahun.
- Nisab zakat perak sebanyak 200 dirham iaitu sama atau melebihi 595 gram (1 dirham = 2.975 gram).
Formula untuk mengira zakat perak adalah seperti ini:
[Berat perak (gram)] x [Harga perak semasa/gram] x 2.5%
Contohnya anda menyimpan 1 kg perak berketulenan 999. Katakan harga semasa 1 kg perak 999 adalah RM 2300. Zakat perak yang wajib dibayar adalah:
1000 gram x RM 2.30 x 2.5% = RM 57.50
BONUS
Anda boleh membuat kira-kira secara automatik menggunakan kalkulator zakat emas yang disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) ini. Selain zakat emas, zakat pendapatan, perniagaan, saham, KWSP dan wang simpanan juga boleh dikira. Hah! Untuk sesiapa yang tak simpan emas tetapi simpan banyak wang di bank seperti yang dinyatakan di atas tadi tu boleh la buat kira-kira ya. KLIK SINI untuk ke pautan tersebut.
Saya berharap agar artikel ini dapat membantu anda memahami persoalan zakat emas dan perak. Ini kerana zakat merupakan kewajipan terhadap orang Islam yang cukup syarat. Sebagai pelabur sudah tentu kita inginkan kekayaan dunia dan kekayaan di akhirat . Keberkatan di dunia dan keberkatan di akhirat. Aamiin.
© Zareen Naqiyah (PG00131385)