Kewangan

The Richest Man in Babylon

The Richest Man in Babylon oleh George S. Clason

  • Harga : RM 18.00
  • Tebal : 180 mukasurat
  • Penerbit : PTS Professional

Buku ini merupakan buku kewangan pertama yang saya baca. Alhamdulillah saya berjumpa dengan sebuah buku yang amat menarik. Saya menjadi lebih faham tentang ilmu kewangan dan asbab membaca buku inilah saya menceburi bidang emas sehingga sekarang.

Penulis menggunakan gaya penceritaan yang mudah difahami. Ianya seakan-akan membaca sebuah novel sahaja tetapi mesej yang hendak diketengahkan penulis itu berjaya sampai ke hati pembaca.

Objektif buku ini adalah untuk mendedahkan kepada kita semua tentang cara-cara mengatasi masalah poket kering. Babylon terkenal sebagai bandar paling kaya dengan timbunan harta tidak ternilai. Tetapi sampai suatu masa, kekayaan hanyalah dimiliki oleh orang kaya. Rata-rata rakyat yang lain tidak mempunyai emas (baca wang) yang mencukupi bagi meneruskan kehidupan seharian.

Raja yang memerintah ketika itu, Raja Sargon melihat serius perkara ini. Penasihat Diraja memberitahu Raja Sargon bahawa golongan kaya tidak boleh disalahkan kerana mereka tahu bagaimana mendapatkan emas. Jika diambil pula harta orang kaya itu dan diberikan kepada orang susah, ianya tidak wajar dilakukan.

Besar impian raja itu untuk menjadikan bandarnya yang terkaya di dunia. Oleh itu, Babylon mesti mempunyai ramai orang kaya. Setelah berbincang, Raja Sargon dan Penasihat Diraja mengambil keputusan untuk meminta orang paling kaya di Babylon, Arkad untuk mengajar rakyat yang lain tentang cara-cara mengumpulkan harta. Arkad menerima titah rajanya dengan hati terbuka.

Inilah apa yang dikongsikan Arkad untuk mengatasi masalah poket kering. Lima hukum emas ini boleh kita praktikkan dalam dunia sekarang kerana ianya masih relevan. Kata Arkad, ilmu emas ini lebih bernilai daripada emas itu sendiri.

  1. Emas bertambah kepada sesiapa yang menyimpan tidak kurang 1/10 daripada pendapatannya.

Setiap kali dapat gaji, alihkan 10% sebagai simpanan. Mesti paksa diri. Kalau tak, memang tak boleh jadi kaya sebab asas membina kekayaan adalah dengan menyimpan.

2. Emas dapat bekerja dengan gigih untuk pemilik bijak bagi mendapatkan pekerjaan menguntungkan, serta menggandakan emas sebanyak dan seluas padang.

Bahasa mudahnya melabur. Gunakan simpanan yang ada tadi untuk mengembangkan duit. Dan gunakan hasil pelaburan untuk memenuhi kehendak kita. Kalau gunakan simpanan tadi untuk berbelanja, duit kita dah tak ada lepas tu. Motivasi untuk menyimpan semula dah pudar. Bilanya nak kaya?

3. Emas berpegang kepada pemilik yang berhati-hati melaburkannya atas nasihat orang yang bijak menguruskan emas.

Nak melabur pun tak boleh suka hati. Boleh tu boleh, tapi nanti modal tu lebur. Nak? Paling mudah, mantapkan dulu diri dengan ilmu. Kalau suka hartanah, beli buku hartanah, hadir seminar hartanah dan minta nasihat bijak pandai dalam bidang tersebut.

4. Emas akan terlepas daripada orang yang melabur dengan tujuan yang mereka tidak biasa ataupun tidak dipersetujui oleh orang yang mahir menyimpan emas.

Nak belajar jual kayu, belajar dengan tukang kayu. Dia tahu kayu mana lebih bagus. Tanya tukang besi, adakah ilmu dia lebih tinggi daripada tukang kayu berkenaan kayu?

5. Emas akan lesap daripada orang yang  memaksa mendapatkan pendapatan di luar kemampuan, ataupun menurut nasihat penipu yang licik, ataupun meyerahkannya kepada nafsu, dan tidak berpengalaman dalam pelaburan.

Sudah-sudahlah percaya dengan janji-janji manis Skim Cepat Kaya tu. Dijanjikan bulan, bintang dan sebagainya. Disebabkan nafsu kita yang nak sangat cepat kaya, akhirnya memakan diri sendiri. Bermula dari bawah. Memang sukar dan lambat tetapi tidaklah hangus duit yang bertahun-tahun dikumpul tu.

Saya suka dengan dialog Algamish yang ini. Kita diberikan peluang sama rata. Bezanya antara kita mahu mencari ilmu yang betul dan bertindak atau tidak sahaja.

“Cahaya mentari yang bersinar pada hari ini adalah cahaya yang sama bersinar pada hari ayah kita dilahirkan. Ia akan tetap bersinar apabila keturunan kita yang terakhir meninggal dunia.” – Algamish, antara lelaki terkaya di Babylon.

© Zareen Naqiyah (PG00131385)

(Visited 471 times, 1 visits today)
Kongsikan Kepada Rakan Anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WhatsApp Saya Nak Simpan Emas!